Oleh Lenna N.B.
SEPERTI hari-hari biasa pelanggan datang dan pergi. Dikenali dengan sajian burgernya yang berganda, kentangnya yang berwarna keemasan serta ayamnya yang rangup, aroma kopi yang harum dan ditambah lagi dengan hidangan citarasa tempatan menjadikannya antara francais makanan segera yang diminati. Namun, artikel ini bukanlah berkenaan keistimewaan hidangan makanan tersebut, tetapi tenaga kerja di sebaliknya, yang mengongsikan satu harapan dan impian.
Dalam kesibukan sehari-hari, pekerja McDonald’s (McD) melayan pelanggan dengan ramah. Walaupun dari mata kasar kerja mereka seakan mudah, hanya mengikut rutin atau melakukan tugasan yang sama setiap hari, atau dianggap sebagai kerja untuk mereka yang ‘berkelulusan rendah’, ternyata McD telah membuka peluang melalui potensi.
Baru-baru ini, wartawan Media Permata berpeluang untuk mendekati lima daripada pekerja McD dari pelbagai latar pendidikan dan pengalaman, cukup membuka mata dan minda tentang erti ‘mencuba’ dan ‘jatuh cinta’ terhadap karier yang diceburi.
Sertai McD sejak hari pertama
Dayang Hartini Haji Hussin, 42, menyertai McD Brunei sejak kali pertama McD membuka ruang pekerjaan kepada anak tempatan, dalam tahun 1992.


Pada masa itu, beliau baru berusia 18 tahun, dan hanya bekerja sebagai kru sementara di cawangan tersebut.
McD secara rasminya beroperasi di Negara Brunei Darussalam pada 15 Disember 1992, dan menurut beliau, pada pengambilan pekerja pertama, kira-kira lebih dari 60 orang anak tempatan telah dilatih, termasuklah bahagian depan kaunter, dapur, pelayan, pengurus operasi, kru sementara dan lain-lain.
“Pada masa itu, kami dilatih oleh pihak pengurusan Malaysia, sehingga lama-kelamaan cawangan McD seratus peratus diambilalih oleh orang Brunei. Dari berkerja sebagai kru sementara, saya kemudiannya terus di sini sebagai pekerja tetap setelah mengalami kesukaran mencari pekerjaan lain dan mulalah terbentuknya karier saya,” jelas Dayang Hartini.
Kini, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pengurus Restoran di cawangan Jerudong dan telah berkhidmat kira-kira 24 tahun di McD.
Sejak hari pertama berkerja, beliau telah membentuk potensi kemahiran diri. Dari seorang pelayan, menjadi pengurus. Dari seorang kru pelayan dan memasak, menjadi sebalik tabir operasi sebuah restoran termasuk strategi pasaran, hal-ehwal pekerja, dan aspek keseluruhan pengurusan sebuah restoran.
“Mungkin ramai yang beranggapan bahwa berkerja di restoran itu pekerjaan yang berjarih (melelahkan), tetapi sebenarnya kita perlu jatuh cinta dahulu, maka kita akan merasa manisnya,” ucap Dayang Hartini.
Kelulusan Ijazah Sarjana Muda
Awang Mohd. Dini bin Haji Morsidi, 24, seorang anak muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali, mengambil keputusan untuk menyertai McD hanya sebagai seorang kru biasa.
Di atas minat memasak dan disebabkan oleh perkerjaan lalu yang tidak mencukupi menampung kehidupan seharian, Awang Mohd. Dini mengambil keputusan untuk mencari peluang di McD walaupun jawatan yang dipegang tidak setaraf dengan latar pendidikannya.


“Ini soalnya bagaimana cara kita berfikir, seperti yang termaktub dalam Al-Quran, Allah berfirman yang ertinya kira-kira, ‘tiada siapa yang boleh mengubah nasib seseorang melainkan diri mereka sendiri’ dan Allahlah sebaik-baik penentu rezeki kita. Atas dasar itu, saya berpegang untuk tidak berkira mencari rezeki walau menjadi kuli sekalipun. Yang penting adalah usaha.”
Apabila pihak pengurusan tenaga kerja McD melihat potensi Awang Mohd. Dini yang agak berbeza dari segi semangatnya, kerajinannya, serta kemahirannya, dalam masa tiga hari sahaja, beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Shift Cawangan Jerudong.
Walaupun tidak yakin dengan kemampuannya, Awang Mohd. Dini terus berusaha untuk mencapai kepercayaan yang diberi. Kenaikan pangkat dalam masa yang singkat memang sesuatu yang tidak dijangkakan.
“Dari bertanggungjawab melayan pelanggan, tugasan saya kini merangkumi memperkembangkan perkhidmatan pelanggan, produksi yang produktif, soal kebersihan, keselamatan dan mencapai sasaran syarikat. Alhamdulillah, atas peluang yang diberikan. Dalam berkerja, tolong-menolong adalah sikap yang mulia, dan kenang-kenanglah indung (ibu bapa) dirumah, InsyaAllah rezeki akan melimpah di mana-mana,” ucap Awang Mohd. Dini.
Dari ‘terpaksa’ jadi ‘jatuh cinta’
“Dulu saya seorang yang berfikiran singkat dan menganggap berkerja di francais restoran hidangan segera seperti KFC, Jollibee dan McD itu, sesuatu pekerjaan bukan untuk saya. Apatah lagi saya memiliki kelulusan dari Micronet. Namun, saya terpaksa atas desakan ibu,” cerita Dayang Norzahidah Zefri, 26.
Kesukaran mencari pekerjaan adalah punca utama Dayang Norzahidah memohon menjadi kru McD yang pada awalnya sebagai pekerja sementara sahaja.
Di samping itu, beliau juga didorong oleh adiknya, yang pernah berkerja di cawangan tersebut.
Namun, lama-kelamaan berada di McD menjadikan beliau jatuh cinta dengan pekerjaaan sehari-hari. Bukan sahaja dari segi khidmat pelanggan, tetapi atas peluang yang diberikan terutamanya apabila dihantar untuk mengikuti kursus keluar negara.


Dayang Norzahidah mula menyertai McD dalam tahun 2013, dan pada ketika itu dia sudah selesa dengan tugasan seharian, tiba-tiba mendapat pekerjaan di sebuah bank tanahair, karier yang ditunggu-tunggunya selama ini.
Namun, atas dasar ‘jatuh cinta’ dengan karier yang telah dibina beberapa bulan bersama syarikat McD, Dayang Norzahidah mengambil keputusan untuk menolak tawaran pekerjaan daripada bank tersebut.
“Perlahan-lahan saya dinaikkan pangkat dari kru biasa menjadi pelatih kru, sehinggalah kini menjadi pengurus shift. Saya masih ingat semasa menjadi seorang pelatih, saya ditugaskan untuk mengajar pekerja-pekerja baru dari segi kualiti perkhidmatan serta hidangan makanan, soal kebersihan, dan mencapai sasaran setiap stesen yang dijaga,” terangnya.
Menariknya, beliau kagum apabila bekerja di bidang ini, sebenarnya telah membuka peluang kepada mereka-mereka yang berpotensi.
Setiap pekerja mempunyai kemahiran berbeza dan syarikat sentiasa berusaha untuk membentuk ruang dalam mengasah potensi kemahiran tersebut.
“Bekerja di sini bagi saya adalah umpama satu keluarga apabila terjalinnya hubungan silaturahim sesama pekerja dan juga pelanggan. Mungkin ramai yang menganggap bekerja di industri seperti ini mempunyai peluang yang terbatas, tetapi seperti apa yang dinyatakan oleh ketua saya, Dayang Hartini , kita perlu mencuba dan jatuh cinta dahulu, baru kita tahu peluang di hadapan mata,” ucapnya di hujung temuramah.
Mengikut jejak penyelia
Dayang Nuurul Husna, 22, antara yang termuda ditemuramah oleh wartawan Media Permata menyimpan harapan mengikut jejak rakan sekerja, yang juga pernah menjadi penyelianya semasa bertugas di McD.
Ketika ini , beliau ditugaskan sebagai seorang barista, bercita-cita ingin menjadi seorang pakar dalam bidang kopi.


“Bagi saya, bidang ini mencipta satu hubungan erat dengan rakan sekerja malah pelanggan-pelanggan yang selalu berkunjung. Menariknya, saya belajar mengenali dan memahami citarasa mereka, malah sudah tahu mana pelanggan-pelanggan yang suka menikmati kopi. Walaupun bidang ini agak mencabar bagi saya, tetapi semangat yang diberikan oleh penyelia atau pelatih saya, menyebabkan saya bertahan sehingga ke hari ini.”
Menurut Dayang Nuurul Husna, detik termanis adalah apabila ditunjuk ajar oleh seorang kakak (rakan sekerja) walaupun bukan sedarah sedaging, tetapi mengajarnya erti kekeluargaan, tidak berputus asa, sentiasa kuat dan kental menjadi seorang yang berjaya.
“Tidak mudah mengalah! Itu pegangan hidup saya,” ucapnya.
Kanak-kanak penceria hati
Awang Mohd. Azhar bin Abdul Manan, 34, walaupun sudah mencapai usia dewasa tetapi jiwanya tetap umpama seorang kanak-kanak yang terhibur dengan dunia fantasi mereka.
Bertugas sebagai Duta Perkhidmatan Pelanggan di McD cawangan Gadong sejak tahun 2014, sentiasa berhadapan dengan hal kebajikan pelanggan, menjadi perancang serta pengurus acara hari jadi.


Walaupun tidak pernah memegang jawatan tersebut, jauh dari latar pekerjaan sebelum ini yang lebih kepada bidang dapur, namun beliau rela untuk merebut peluang itu apabila McD memberikannya kepercayaan. Sejak itu, pekerjaan menjadi lebih seronok terutamanya ketika berhadapan dengan pelanggan yang terdiri daripada golongan kanak-kanak hampir setiap hari.
“Pekerjaan ini secara tidak langsung telah mengubah diri saya menjadi seorang yang lebih ceria, banyak bercakap dan yakin. Potensi saya terbentuk tanpa saya sedari. Detik termanis saya adalah terletak kepada kegembiraan wajah kanak-kanak serta pelanggan yang berulang kali mengadakan majlis hari jadi di sini.”
Menurut beliau, McD berjaya membuktikan anak Brunei berkebolehan. Beliau turut menyeru belia-belia tempatan agar kita tidak memilih pekerjaan. Rebut peluang yang ada tidak kira di mana mereka melangkah kerana kejayaan hanya tercapai dari peluang itu.
Bukan hari-hari biasa
Tidak kira arah dan tujuan kita, apa pekerjaan yang kita lakukan, kejayaan itu terletak kepada diri kita sendiri. Perkongsian pekerja-pekerja McD pada hari ini bukan soal promosi makanan tetapi bagaimana pekerja-pekerja mereka dari pelbagai latar melihat tugasan seharian bukan sekadar tugasan biasa, bagaimana mereka membentuk karier dengan potensi dan kemahiran, bagaimana cara fikiran yang sempit sebelum ini menjadi lebih luas, bagaimana hari ini bukan sekadar hari-hari biasa.