Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Potensi FSPV di beberapa empangan negara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Empangan Ulu Tutong, Empangan Benutan, Empangan Kago, Empangan Mengkubau, Tasek Lama, Empangan Imang, Tasek Ikas, Tasek Sengkurong dan Tasek Pelangi Biru adalah antara tempat yang berpotensi bagi penggunaan floating solar photovoltaic (FSPV) yang dijadualkan dilaksanakan menjelang 2025-2035 di negara ini.

    Jumlah kapasiti daripada FSPV berkenaan dijangka akan mencapai 2,323 MW secara keseluruhannya. Tahap keboleh-laksanaanya bermula seawal 2022 di mana demonstrasi projek berupa 1 MW FSPV akan dilaksanakan mula-mula sekali di Tasek Pelangi Biru, Mentiri.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Awang Muhammad Hasbur Rahman bin Yahaya dari Bahagian Tenaga Lestari di Kementerian Tenaga dalam sesi perkongsian mengenai pilihan FSPV di Brunei yang diadakan sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2021 di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Beliau semasa pembentangannya mengongsikan mengenai kajian FSPV yang dikendalikan oleh Kementerian Tenaga di bawah Bahagian Tenaga Lestari bagi menyesuaikan pasaran di negara ini melalui dapatan daripada data global.

    Menurut beliau, penggunaan FSPV adalah lebih mahal berbanding Ground-mounted Solar PV (GMSPV) disebabkan keperluan untuk pembinaan struktur terapung yang akan memakan lebih banyak perbelanjaan sebaliknya bagi GMSPV hanya memerlukan tanah atau kawasan yang sudah sedia ada.

    Tambahan lagi, bagi FSPV, pergerakan struktur terapung turut memerlukan lebih banyak kabel untuk meliputinya.Seterusnya beliau juga mengulas mengenai kebaikan penggunaan FSPV berbanding GMSPV yang antaranya adalah disebabkan keterbatasan tanah yang ada di mana ia boleh digunakan untuk perkara yang lain seperti pembangunan industri.

    Di samping itu, jelasnya, penggunaan FSPV juga merupakan suatu perkara yang baik dan dapat diintegrasikan dengan akuakultur selain ia juga dapat mengurangkan penyejatan yang akan memberi pemuliharaan pada air di takungan disebabkan oleh pembinaan struktur FSPV atas permukaan air yang juga akan mengurangkan pertumbuhan alga.

    Awang Muhammad Hasbur Rahman ketika menyampaikan pembentangannya mengenai potensi bagi penggunaan FSPV kelmarin.
    Antara yang hadir semasa persidangan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda