Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Masih terdapat banyak potensi untuk mengembangkan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam dengan melihat kepada jumlah penduduk yang majoritinya beragama Islam serta aset Islam yang terus bertambah.
Oleh itu, Brunei berada di kedudukan yang amat baik untuk menjadi sebuah hab bagi kewangan Islam dengan hubungan dan keberadaan negara yang berhampiran kepada sebilangan besar ekonomi utama dalam bidang kewangan Islam seperti negara-negara Timur Tengah dan Asia Tenggara yang memberikan ruang untuk mengembangkan kewangan Islam di rantau berkenaan.
Potensi berkenaan dijelaskan oleh pemenang Anugerah Kertas Terbaik bagi kategori Ahli Akademik dan Pekerja Profesional, Dayang Farah A’liyah binti Haji Amer Hishamuddin dalam temu bual bersama Media Permata pada Simposium Kewangan Islam Brunei Darussalam 2024 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini, kelmarin.
Dayang Farah A’liyah dengan kertas kerja bertajuk The Integration of ESG in Islamic Asset Management-A Practical Approach, menyatakan perasaan amat gembira kerana kertas kerjanya telah dipilih untuk memenangi anugerah berkenaan.
Memberikan penerangan ringkas mengenai kertas kerjanya, beliau berkata ia melihat kepada integrasi ESG ke dalam kewangan Islam yang meliputi pendekatan praktikal ke arah mengintegrasikan ESG (alam sekitar, sosial, urus tadbir) kewangan mampan ke dalam pasaran sukuk.
Beliau menerangkan lanjut bahawa kemampanan dalam kewangan Islam masih merupakan ruang penyelidikan yang baharu, oleh itu, aplikasi ESG ke dalam rangka kerja pelaburan, masih boleh dipertingkatkan.
Mengulas sedikit mengenai cabaran yang dihadapinya dalam menghasilkan kertas kerja itu, katanya, cabaran utama adalah dari segi penyelidikan di mana bidang kajiannya merupakan satu bidang yang masih baru iaitu penyelidikan dalam bidang ESG khususnya dalam konteks kewangan Islam.
Beliau menyatakan lagi bahawa masih terdapat banyak kajian baharu yang dilaksanakan berhubung bidang ESG dan kemampanan di mana maklumat yang mendalam bagi bidang itu masih lagi dikumpulkan dan perlu untuk dikaji dengan lebih lanjut.
Sementara itu, pemenang tempat kedua bagi kategori Pelajar iaitu Dayang Nurul Naqibah Izzati binti Muhammad Faizul dengan kertas kerja bertajuk Achieving Economic Growth through Islamic Social Finance, berkata kajiannya mengetengahkan kewangan sosial Islam sebagai cara untuk membuka peluang yang dapat membantu dalam perumahan, pertumbuhan kewangan Islam serta mencapai Wawasan Brunei 2035.
Katanya, sebagai kumpulan pelajar bidang ekonomi pertama di UNISSA, kertas kerjanya itu, dihasratkan untuk mengetahui mengenai penerimaan kewangan sosial Islam dan peranan yang dapat dimainkan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi.
Mengulas mengenai perkembangan kewangan Islam di Brunei, beliau berkata ia berkembang dengan pesat, oleh itu, menggalakkan penglibatan lebih ramai lagi ahli masyarakat dalam bidang kewangan sosial Islam termasuk dalam perlaksanaan dasar-dasar yang sesuai untuk rakyat Negara Brunei Darussalam.