Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Potong ‘barisan’, Eina Azman mohon maaf

    Selebriti, Datin Paduka Eina Azman memohon maaf atas kekecohan yang timbul selepas berkongsi proses suntikan vaksin dia dan suami di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak, Selasa lalu, hingga dikecam warganet.

    Didakwa memotong giliran orang lain dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana merentas negeri, Eina menjelaskan, bukan niat dia hendak menyinggung sensitiviti dan rasa kurang senang sesetengah pihak.

    “Saya memohon maaf andai perkongsian saya dalam media sosial menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

    “Saya tidak bermaksud menyinggung sensitiviti sesiapa, apatah lagi ketika isu vaksin menjadi perbualan hangat.

    “Malah, pihak berwajib sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini.

    “Tidak timbul istilah memotong giliran mengambil vaksin seperti dakwaan segelintir pihak. Saya ada masalah kesihatan yang tidak dapat dikongsikan kepada umum,” katanya.

    Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, berkata dia memadam entri menunjukkan proses suntikan vaksin di HRPB bagi mengelak isu berkenaan bertambah rumit.

    Sehubungan itu, Eina memohon orang ramai tidak lagi memanjangkan perkara ini.

    “Dengan rasa rendah diri, saya sekali lagi memohon maaf sekiranya video dan gambar yang dimuat naik menimbulkan salah faham,” katanya.

    Menurut laporan media, Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman menjelaskan pemberian vaksin kepada Eina dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmit Abdullah, dibuat berdasarkan rujukan doktor pakar. – Agensi

    Eina memohon maaf atas kekecohan yang timbul selepas perkongsian dirinya dan suami mendapatkan suntikan vaksin. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda