LONDON, 17 JULAI – Sebuah potret minyak Mahatma Gandhi yang dipercayai satu-satunya lukisan yang pernah dilukis secara langsung dengan kehadiran pemimpin kemerdekaan India itu telah dijual pada harga £152,800 (AS$205,000) dalam satu lelongan di London.
Potret bertarikh 1931 hasil karya pelukis British-Amerika, Clare Leighton, telah melebihi dua kali ganda harga anggaran apabila lelongan ditutup pada Selasa, menurut rumah lelongan Bonhams.
“Lukisan ini dipercayai satu-satunya potret minyak Mahatma Gandhi yang dilukis secara langsung. Ia merupakan karya yang sangat istimewa dan tidak pernah ditawarkan dalam mana-mana lelongan sebelum ini,” kata Rhyanon Demery, Ketua Jualan di Bonhams.
Beliau menambah bahawa potret tersebut “merupakan bukti kekuatan Gandhi dalam menjalin hubungan dengan masyarakat dari pelbagai latar, serta menjadi dokumen kekal kepada satu detik penting dalam sejarah.”
Gandhi dikenali sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah India kerana mengetuai gerakan kemerdekaan secara aman menentang penjajahan British. Inspirasi perjuangannya turut mengilhamkan gerakan penentangan tanpa kekerasan di seluruh dunia.
Walaupun terdapat puluhan ribu karya seni, buku dan filem yang menggambarkan Gandhi, potret itu mempunyai nilai unik kerana dihasilkan ketika Gandhi berada di London pada waktu genting dalam perjuangan kemerdekaan India. – AFP
