BRIGHTON, UNITED KINGDOM, 30 OKT – Bos Chelsea, Graham Potter dikalahkan ketika kembali ke Brighton apabila bekas kelabnya menamatkan permulaan tanpa kalahnya menerusi kemenangan 4-1 di Stadium Amex, kelmarin.
Potter mengharungi sembilan aksi tanpa kalah sejak meninggalkan Brighton bagi mengendalikan the Blues.
Namun Brighton merosakkan kepulangan bos Chelsea itu berdepan skuad Seagulls ketika pengurus baharu mereka, Roberto De Zerbi ceria dengan kemenangan pertama selepas menggantikan Potter. Brighton mendahului pada babak pertama menerusi gol sendiri Ruben Loftus-Cheek dan Trevoh Chalobah menambah derita Potter selepas jaringan awal Leandro Trossard.
Kai Havertz kembali merapatkan jaringan selepas tamat babak pertama tetapi jaringan lewat permainan Pascal Gross menambah duka Potter.
Potter diejek ketika keluar dari bas pasukan Chelsea dan kata-kata “awak akan dipecat pada pagi esok” kedengaran daripada penyokong Brighton selepas persembahan buruk dipamerkan pasukannya.
“Brighton ialah pasukan yang bagus, saya tahu dan bersama penyokong dan suasana yang dicipta mereka, mereka memberikan tekanan buat awda,” kata Potter.
“Kami membuat beberapa kesilapan ketika memulakan perlawanan tetapi itu boleh terjadi. Saya tidak menyalahkan pemain kerana mereka sebelum ini beraksi baik.
“Mereka memberikan apa sahaja buat saya. Saya perlu mengambil tanggungjawab dan cuba mencari jalan bagi menjadikan kami lebih bagus.”
Ia malam yang perlu dilupakan Potter, dengan pasukannya kini jatuh ke tangga kelima dan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City. – AFP
