Pozzovivo dilanggar kereta

MILAN, 13 OGOS – Penunggang Itali, Domenico Pozzovivo, mengalami kecederaan serius selepas dilanggar oleh sebuah kereta, menurut pasukannya, Bahrain-Merida semalam.

Pozzovivo terlibat dalam perlanggaran itu ketika menjalani sesi latihan berdekatan Cosenza di selatan Itali.

Pelumba basikal berusia 36 tahun itu telah dikejarkan ke sebuah hospital dan masih menerima rawatan rapi.

“Meskipun dia dalam keadaan stabil dan sedar, Pozzovivo telah mengalami beberapa patah tulang yang memerlukan pembedahan,” kata pasukan itu.

“Pozzovivo mengalami patah tangan dan kaki selepas dilanggar oleh sebuah kereta,” jelas pasukan melalui Twitter.

Seorang pakar dalam pendakian, Pozzovivo, telah membantu rakan sepasukannya, Vincenzo Nibali untuk meraih tempat kedua di Giro Itali tahun ini.

Ketika kejadian, dia sedang menjalani latihan bagi Vuelta a Espana yang akan bermula pada 24 Ogos ini, namun kemungkinan besar dia akan terlepas perlumbaan itu.

Ini adalah pasti berdasarkan laporan bahawa dia mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan kecederaan dada. – AFP

Gambar fail bertarikh 24 Mei 2018 menunjukkan Domenico Pozzovivo mendahului Tom Dumoulin dan Chris Froome pada peringkat 18 Giro d’Italia. – AP