Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Bagi memperkukuh keselamatan komuniti dan mempertingkatkan komunikasi dua hala antara pihak polis dan masyarakat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kelmarin, terus melaksanakan aktiviti Pengawasan Kejiranan (PK) yang melibatkan sesi muzakarah bersama ketua-ketua kampung di seluruh negara.
Aktiviti mingguan ini dilaksanakan oleh ahli-ahli PK dengan kerjasama anggota dari balai-balai polis di keempat-empat daerah.
Pendekatan secara langsung ini bukan sahaja memberi ruang kepada pihak polis untuk mengenal pasti perkembangan semasa di kawasan kampung, malah turut membolehkan isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam dibincangkan dengan lebih berkesan.

Antara agenda utama yang diketengahkan dalam sesi lawatan dan muzakarah berkenaan termasuklah pemantauan berterusan terhadap kegiatan di kawasan sekitar, usaha mencegah kejadian jenayah serta penglibatan komuniti dalam menjaga keselamatan kejiranan secara kolektif.
Aktiviti seumpama ini juga menyemai hubungan yang lebih erat dan harmoni antara PPDB, ketua kampung dan penduduk setempat di samping memberi impak positif dalam menjayakan objektif Pengawasan Kejiranan yang menekankan aspek keamanan, perpaduan serta kesejahteraan hidup bermasyarakat.
PPDB akan terus mempergiatkan inisiatif sedemikian secara konsisten demi memastikan tahap keselamatan masyarakat sentiasa berada pada tahap terbaik serta membina komuniti yang berwaspada, bersatu dan bertanggungjawab.


