Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPDB, JKED serbu rumah penjual rokok haram

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TUTONG, 24 OKT – Seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun telah ditahan selepas didapati memiliki dan menjual rokok secara haram semasa serbuan dijalankan di sebuah rumah kawasan Kampung Perpindahan Bukit Beruang, Tutong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang diterima hari ini daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 9 malam dalam Operasi Sepadu melibatkan PPDB bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) itu berdasarkan maklumat risikan mengenai aktiviti penjualan rokok di kawasan tersebut.

    Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kediaman berkenaan mendapati sejumlah barang tegahan telah disembunyikan di ruang tamu, termasuk 54 paket rokok pelbagai jenis yang telah dirampas.

    Kesemua barang tegahan tersebut telah disita oleh pihak JKED, manakala suspek diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JKED, Daerah Belait bagi tindakan dan siasatan lanjut.

    PPDB menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan barang-barang tegahan di negara ini.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah diseru untuk menyalurkannya ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993.

    Operasi Sepadu melibatkan PPDB dan JKED ketika menyerbu sebuah rumah di kawasan Kampung Perpindahan Bukit Beruang. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    Paket rokok pelbagai jenis yang telah dirampas semasa serbuan tersebut. – GAMBAR SERAHAN PPDB

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda