Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semalam mengeluarkan kenyataan berhubung satu video tular di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap satu laporan polis.
PPDB menjelaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar dan memaklumkan siasatan telah pun diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan serta sedang menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.
PPDB menegaskan setiap laporan yang diterima akan ditangani dengan penuh tanggungjawab, terutamanya melibatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Proses siasatan dijalankan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau memuat naik kandungan negatif dan tidak sahih di media sosial, terutamanya yang berkaitan dengan siasatan yang masih berjalan atau proses perundangan. Tindakan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan awam, serta berpotensi menjejaskan integriti siasatan dan mengganggu proses keadilan.
PPDB amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam mengekalkan keselamatan, namun sebarang persoalan atau keraguan perlulah disalurkan melalui saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai kes berkenaan boleh dikemukakan kepada PPDB melalui saluran komunikasi rasmi. PPDB turut menyeru orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, demi memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.
