Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPDB peringati Nuzul Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sempena memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui kelolaan Badan Ugama Islam (BUI) PPDB petang kelmarin mengadakan Majlis Ceramah Agama Sempena Nuzul Al-Quran bagi tahun 1446H/2025M bertempat di Surau Polis Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Zohor berjemaah dan diikuti dengan ceramah bertajuk Peristiwa Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama, Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian.

    Antara inti pati ceramah tersebut menekankan bahawa Nuzul Al-Quran bukan sekadar peristiwa bersejarah, tetapi sebagai panduan hidup yang perlu difahami dan diamalkan.

    Al-Quran memberi pengajaran serta penyelesaian kepada pelbagai masalah, selain mendatangkan nikmat dan keberkatan. Membacanya bukan sahaja memberi ganjaran besar, malah boleh membawa rezeki yang tidak disangka-sangka, seperti kehidupan yang mencukupi walaupun dalam serba kekurangan.

    Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk terus mendalami dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

    Majlis kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan dan bacaan Doa Selamat oleh Imam Surau Polis Gadong, PPDB, APO Staf Sjn 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, serta pengarah-pengarah dan timbalan pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan anggota pangkat rendah PPDB.

    DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman menyampaikan cenderhati kepada penceramah undangan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Anggota-anggota PPDB mendengarkan ceramah yang disampaikan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda