Thursday, November 21, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPDB perkasa siasatan jenayah melalui taklimat forensik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Pegawai dan anggota penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Daerah-daerah Polis telah menghadiri Taklimat Bahan Bukti Trace Evidence yang diadakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Auditorium Bangunan Ibu Pejabat Polis Gadong pada 19 November lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, taklimat berkenaan disampaikan oleh dua orang pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Saintifik (DSS), Kementerian Kesihatan iaitu Haji Abdul Wafi Zulfadli Haji Awang dan Khairul Haji Awang Salleh.

    Dalam taklimat berkenaan, antara tajuk-tajuk yang dibentangkan merangkumi analisis forensik bahan-bahan halus seperti serat, rambut, kaca, tanah atau bahan lain yang boleh menjadi petunjuk penting dalam siasatan jenayah.

    Dalam sesi pembentangan itu, para pakar dari DSS telah berkongsi teknik terkini dalam pengumpulan, analisis dan pentafsiran bukti jejak yang boleh membantu mengenal pasti suspek atau menyokong bukti di mahkamah.

    Pihak PPDB juga berpeluang untuk berdialog dengan pakar DSS, berbincang mengenai cabaran yang dihadapi serta mengukuhkan kemahiran dalam mengendalikan bahan bukti semasa taklimat berkenaan.

    Pihak PPDB sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Taklimat berkenaan diharapkan dapat memberikan pemahaman lebih jelas mengenai amalan dan prosedur semasa menganalisis, membungkus dan mematuhi prosedur penghantaran bahan bukti yang berkesan serta memperkukuhkan proses penyiasatan demi keadilan.

    Semua di atas: Suasana sekitar taklimat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda