Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Sebanyak 432 botol dan 48 tin minuman keras, 295 batang rokok serta 277 unit vape pelbagai jenama berjaya dirampas oleh anggota dari Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam dua kejadian berasingan semasa Operasi Pemantauan dan Pencegahan Jenayah yang dijalankan sekitar jam 5 pagi di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
Dalam kejadian pertama, hasil daripada pemantauan rapi di kawasan Bangar, sepasukan anggota polis telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Kenderaan tersebut berjaya ditahan bersama dua orang suspek, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 24 dan 38 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan membawa 300 botol minuman keras, 19 batang rokok serta satu unit vape, selain turut menemukan alat dan bahan yang disyaki digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, dalam kejadian kedua di lokasi yang sama, pihak polis telah menahan sebuah lagi kenderaan mencurigakan yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara asing berumur 49 tahun.
Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa kotak yang disahkan mengandungi 132 botol dan 48 tin minuman keras serta 276 unit vape pelbagai jenama.
Kesemua suspek bersama barang rampasan daripada kedua-dua kejadian berkenaan telah diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB dalam kenyataannya menegaskan komitmen berterusan dalam memerangi aktiviti yang menyalahi undang-undang, serta akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan bagi memastikan aktiviti jenayah dapat dibanteras secara berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.




