Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Satu rakaman video yang tular di media sosial hari ini memaparkan insiden pergaduhan melibatkan dua orang warga emas dan seorang lelaki muda semasa berada di Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan yang berlangsung di Dewan Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Susulan daripada penularan video tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Berakas pada hari yang sama.
Menurut kenyataan rasmi PPDB, kejadian itu sedang disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Hukuman Jenayah, iaitu kesalahan bergaduh atau berkelahi di tempat awam. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.
PPDB turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu atau mengambil tindakan sendiri yang boleh menyalahi undang-undang. Selain itu, orang awam diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih, bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.


