Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPDB tumpaskan sindiket Macau Scam

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Seorang warga asing yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam yang menyebabkan kerugian melebihi $240,000 telah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah , Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Menurut kenyataan media, suspek telah ditahan pada 12 Mac menandakan satu kejayaan besar dalam membongkar rangkaian penipuan yang beroperasi antara November 2024 dan Mac 2025.

    Sindiket itu menggunakan modus operandi di mana mangsa dihubungi melalui telefon oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank, mendakwa mangsa mempunyai hutang kad kredit tertunggak atau memiliki kad kredit tanpa kebenaran.

    Panggilan itu kemudiannya akan ‘dipindahkan’ kepada ahli sindiket lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan akan memberitahu mangsa bahawa akaun bank mereka didakwa dikaitkan dengan aktiviti jenayah.

    Mangsa kemudiannya akan diminta memberi maklumat peribadi dan diarahkan untuk memindahkan atau mengeluarkan wang di bawah nama prosedur keselamatan.

    Siasatan mendapati sindiket yang dikaitkan dengan suspek tersebut telah terlibat dalam 38 kes penipuan.

    Pihak berkuasa turut mengenal pasti sebanyak 42 nombor telefon tempatan yang digunakan sindiket itu, bersama pelbagai peralatan dan kediaman digunakan untuk operasi mereka. Beberapa dana yang terlibat telah berjaya dikesan.

    Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Penggal 22 kerana menipu dan mendorong penyerahan harta secara tidak jujur yang boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

    Bahagian Siasatan Jenayah Siber akan terus menyiasat kes berkenaan bagi mengenal pasti mangsa lain yang masih belum melaporkan kerugian selain mengesan anggota sindiket tambahan.

    PPDB menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan elak daripada menyewa atau mendaftar akaun bank atau kad SIM bagi individu yang tidak dikenali, kerana tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah pelbagai kesalahan, termasuk konspirasi, penipuan dan pengubahan wang haram.

    Untuk melindungi daripada penipuan Macau Scam, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan sahkan sebarang panggilan yang mencurigakan dengan menghubungi terus bank atau PPDB melalui saluran rasmi. 

    Suspek yang dibawa ke sel tahanan oleh PPDB.
    Antara peralatan yang dipercayai digunakan dalam operasi penipuan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda