Monday, May 5, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPDB tumpaskan tiga cubaan penyeludupan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah berjaya mematahkan tiga percubaan penyeludupan barang tegahan dan berjaya merampas sejumlah 300 karton rokok, 204 botol minuman keras, serta 10 kilogram sayap ayam beku ke dalam negara menerusi beberapa operasi pencegahan dan pemantauan jenayah yang dijalankan secara berterusan.

    Rampasan tersebut adalah hasil daripada rondaan rutin dan tindakan berdasarkan maklumat risikan di kawasan Daerah Temburong, yang dikenal pasti sebagai antara lokasi berisiko tinggi.

    Dalam ketiga-tiga kes berkenaan, beberapa buah kenderaan telah berjaya dikesan dan ditahan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki individu-individu yang bertanggungjawab, termasuk pemandu yang melarikan diri dan meninggalkan kenderaan bersama barang tegahan.

    Kenderaan-kenderaan terlibat beserta barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

    PPDB ingin mengingatkan orang ramai bahawa penglibatan dalam sebarang aktiviti penyeludupan atau pemilikan barang tegahan adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman berat. Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut mendatangkan kesan buruk terhadap kesejahteraan diri dan keluarga.

    PPDB akan terus komited dalam usaha membanteras dan menghalang kegiatan penyeludupan di seluruh negara, dan menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada balai polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993.

    Barang-barang tegahan yang dirampas oleh pihak PPDB dalam operasi rondaan di Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    ATAS & BAWAH: Antara kenderaan yang membawa barang tegahan telah ditahan. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda