Oleh Syahmi Hassan
TUTONG, 2 APRIL – Persatuan Pengakap Daerah Tutong (PPDT), kelmarin, mengagihkan 20 pek makanan mengandungi bubur kacang hijau dan bubur ubi manis serta minuman botol di sekitar Pekan Tutong di bawah projek Iftar Kasih Ramadan.
Pek makanan yang diagihkan berkenaan merupakan sumbangan Haji Muslin bin Haji Salim.
Projek yang dikendalikan melalui Bahagian Kebajikan dan Kemasyarakatan itu merupakan salah satu daripada projek dalam bulan Ramadan yang dimuatkan dalam kalendar tahunan persatuan berkenaan.
Ia bertujuan untuk sama-sama mengungkayakan kerja-kerja yang berkebajikan dan kemasyarakatan, di samping mengeratkan hubungan ukhuwah antara ahli pengakap sendiri serta masyarakat.
Turut hadir semasa pengagihan tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Persatuan Pengakap Daerah Tutong, Haji Mohd Sufian bin Haji Abdul Karim dan pengerusi majlis, Haji Musa bin Haji Libut serta ahli-ahli persatuan.
Penyerahan pek juadah makanan disempurnakan oleh Haji Mohd Sufian dan diserahkan kepada Pemangku Penolong Pesuruhjaya Bahagian Kebajikan, Kemasyarakatan dan Alam sekitar untuk diagih-agihkan kepada para petugas di sekitar Pekan Tutong seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Tutong, Balai Polis Tutong, Jabatan Perkhidmatan Elektrik Tutong, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) cawangan Daerah Tutong dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.