Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Sebagai salah satu inisiatif bagi memberigakan bahan pemasaran media massa anti-tembakau Kementerian Kesihatan (MOH) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024, Pusat Promosi Kesihatan (PPK), MOH telah menandatangani Kerjasama Kempen Media Massa Anti-Tembakau, hari ini, bertempat di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua PPK, Kementerian Kesihatan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Pegawai Eksekutif, PPK, Awang Mohammad Firdey Hazarullah bin Haji Mohd Zain.
Majlis kemudian diikuti dengan penandatanganan surat persetujuan dan penyerahan sijil penghargaan dan seterusnya tayangan dua klip video Kempen Media Massa Anti-Tembakau iaitu YouthandVape.
Kerjasama kempen media massa itu akan berjalan selama 12 bulan.
Ia juga merupakan usaha untuk memperkukuhkan dan mempertingkatkan langkah-langkah mempromosi gaya hidup bebas tembakau dan vape melalui kerjasama bersama sebuah syarikat pengiklanan media digital.
Objektif kerjasama itu antara lain adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tembakau, khususnya rokok elektronik.