Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Lawatan perniagaan Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei (PPPMB) ke Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia, yang diadakan baru-baru ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara usahawan Brunei Darussalam dan Labuan, Malaysia.
Antar lain tujuan utama lawatan berkenaan adalah bagi memulakan hubungan kerjasama perniagaan antara ahli PPPMB dan rakan-rakan usahawan di Labuan, di samping membuka ruang ke arah jalinan perniagaan lebih luas dalam kalangan negara-negara anggota BIMP-EAGA.
Majlis perjumpaan berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Wisma Perbadanan Labuan, di mana turut diadakan sesi ‘Business-to-Business (B2B) Networking’ yang menghimpunkan usahawan dari pelbagai sektor.

Hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Perbadanan Labuan Yang Berbahagia Dato Mohd Husni bin Mohamad Saleh, dan Pengerusi BIMP-EAGA Business Council (BEBC) Labuan, Azhar Othman, selaku penganjur bersama bersama LDA Labuan (Holdings) Sdn Bhd.
Dalam majlis berkenaan, turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPPMB dan BEBC Labuan yang menjadi simbol komitmen bersama dalam memperkukuhkan jaringan keusahawanan, pertukaran pengetahuan dan pelaksanaan projek bersama di masa hadapan.
Timbalan Presiden (Perdagangan) PPPMB, Awang Haji Suni bin Haji Sulaiman, selaku ketua kontinjen dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh pihak penganjur.

Selain menyatakan bahawa kerjasama ini bukan sekadar hubungan perniagaan semata-mata, tetapi juga mempererat hubungan persahabatan antara Brunei Darussalam dan Labuan, Malaysia, yang sekian lama terjalin.
Beliau turut menekankan bahawa dengan kedudukan Labuan sebagai hab kewangan dan perniagaan antarabangsa serta kebangkitan generasi usahawan muda Brunei Darussalam yang dinamik, kedua-dua pihak memiliki potensi besar untuk saling melengkapi dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi dan perkhidmatan.
Selain pemeteraian MoU, program tersebut turut diisi dengan sesi perbincangan dan jaringan perniagaan antara ahli PPPMB dan usahawan tempatan, bagi mengenal pasti peluang kerjasama baharu dan mengukuhkan kehadiran sektor perusahaan Melayu di peringkat serantau.

Lawatan tersebut diakhiri dengan harapan agar hubungan erat antara PPPMB dan BEBC Labuan akan terus berkembang, bukan sahaja dalam konteks ekonomi, tetapi juga dalam memperkukuh semangat kekeluargaan dan perpaduan serantau di bawah payung BIMP-EAGA.

