PPN fokus tingkatkan taraf hidup petani

KUCHING, 20 OGOS – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak disusun semula sebagai usaha untuk meningkatkan taraf hidup komuniti petani di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau berkata Menteri Muda Pertanian Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penyusunan semula PPN Sarawak bagi memberi tumpuan lebih terhadap keperluan petani di negeri ini.

“Kami ingin membantu setiap keluarga petani untuk memperoleh pendapatan bulanan RM4,000 dari usaha mereka, kemudian, mereka dapat memiliki taraf hidup yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata kini sudah tiba masa untuk petani, penternak dan nelayan di Sarawak mengguna pakai teknologi moden dan sains dalam perusahaan mereka.

“Ini akan membolehkan mereka mengeluarkan lebih banyak produk yang bermutu tinggi agar dapat bersaing dengan pengeluar lain di Asia,” katanya sambil menambah bahawa mereka juga harus memiliki disiplin, semangat dan komitmen untuk berjaya. – Bernama