Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas hari ini, telah mengadakan dua kegiatan peringkat dunia secara serentak bersempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2019 yang membawa tema ‘Lindungi Spesis Kita’ dan Sambutan Hari Buku Sedunia 2019.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis pelancaran program berkenaan di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pegawai-pegawai pengakap, pemimpin-pemimpin pasukan Pengakap Tunas dan penolong-penolong pemimpin Pengakap Tunas.
Menurut Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi yang juga pemimpin Pasukan Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Sambutan Hari Bumi Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap 22 April di mana acara pada hari tersebut diraikan di seluruh dunia untuk menunjukkan sokongan bagi perlindungan alam sekitar.
Manakala itu, Sambutan Hari Buku Sedunia yang disambut pada setiap 23 April dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menggalakkan membaca, penerbitan dan hak cipta.
Lebih 100 orang ahli Pengakap Tunas dari sekolah rendah kerajaan dan sekolah rendah pendidikan swasta telah menyertai program berkenaan iaitu empat buah sekolah rendah kerajaan dan tiga buah sekolah rendah pendidikan swasta iaitu Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Sekolah Rendah Pulaie, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Sinaran Mas, Sekolah DES dan Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei Belait.
Program dihasratkan untuk memberi pendedahan dan pendidikan serta kesedaran bagaimana generasi muda berperanan dalam usaha membantu bagi penjagaan alam sekitar mereka melalui pelbagai kegiatan yang boleh dijalankan.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memperkasakan budaya membaca dan memberi kefahaman yang lebih kepada ahli-ahli Pengakap Tunas mengenai kepentingan membaca buku, untuk dijadikan hobi membaca buku sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Kegiatan menanam biji kacang hijau dalam cawan plastik juga dikendalikan oleh pemimpin Pengakap Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, kegiatan teka silang kata dikendalikan oleh pemimpin Pengakap Sekolah Rendah Pulaie, kegiatan mereka bentuk kad penanda buku bertemakan Hari Bumi Sedunia dan Hari Buku Sedunia dikendalikan oleh pemimpin Pengakap Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata dan kegiatan kitar semula serta tayangan video dikendalikan oleh pemimpin Pengakap Sekolah Sinaran Mas.
Penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan mewarna telah disempurnakan oleh Hajah Noraini selaku pengerusi program.
