Oleh Syahmi Halimshah
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Penyelaras Program Messengers of Peace Brunei, baru-baru ini, telah menganjurkan Program Hari Terbuka Messengers of Peace (MoP).
Lebih 70 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana, pemimpin-pemimpin pengakap serta pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap menghadiri program berkenaan.
Hadir bagi merasmikan program hari terbuka berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali. Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif Penyelaras Program MoP untuk mengetengahkan dan menyebarluaskan Program MoP dalam kalangan ahli-ali pengakap dan bukan pengakap.
Di samping itu, program hari terbuka berkenaan dihasratkan untuk mempromosikan kegiatan pengakap kepada dunia luar.

Antara atur cara program yang telah disusun pada hari tersebut adalah tayangan video aktiviti MoP, pendaftaran secara online ahli-ahli pengakap di www.scout.org, penerangan mengenai Program MoP dan permainan-permainan yang berkaitan dengan kerja berkumpulan dan ‘Roleplay’.
Program MoP merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) untuk pengakap-pengakap di seluruh dunia membuat pelbagai program yang menjurus kepada keamanan, keharmonian, persaudaraan, kelestarian alam sekitar, mengatasi masalah sosial dan sebagainya.