Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Seramai lebih 120 peserta terdiri daripada Pesuruhjaya Pengakap, Pemimpin dan Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap, orang dewasa dalam kepengakapan serta ahli Pengakap Kelana, telah menghadiri Kursus Safeguardin: SfH, Webinar LNT, MoP, SDGs & Earth Tribe, hari ini.
Kursus yang diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 5, Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong itu dianjurkan oleh PPNBD melalui Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan.
Acara dimulakan dengan penerangan objektif kursus serta sesi pengenalan jurulatih dan pemudah cara, selain pembentangan dan kandungan kursus yang antara lain bertajuk, Melindungi: Selamat Daripada Bahaya (Safeguarding: Safe From Harm – SfH) yang telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Latihan, Asia-Pacific Regional (APR) – Koordinator Safe From Harm Brunei, Skip Zainudin bin Haji Ishak.
Sementara itu, Webinar Meninggalkan Tempat Tanpa Sebarang Jejak (Leave No Trace – LNT) pula telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Program) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Trainer Leave No Trace, Persekutuan Pengakap Malaysia, Skip Rahimi bin Mahmud.


Kursus dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan mampan dan inisiatif global di bawah Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (World Organization of the Scout Movement-WOSM).
Dengan adanya program ini, ia diharap dapat mengukuhkan kualiti kepimpinan pengakap negara selaras dengan matlamat untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa, bertanggungjawab dan mampu mendukung inisiatif antarabangsa.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Leftenan Kolonel (B) Haji Ramli bin Haji Hadis
Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam percaya bahawa ilmu dan kemahiran yang diberikan akan dipraktikkan dalam setiap aktiviti pengakap di peringkat daerah dan unit masing-masing.
Usaha ini sekali gus menyokong komitmen PPNBD dalam memastikan suasana pembelajaran dan kegiatan pengakap yang lebih selamat, inklusif dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi negara dan WOSM menuju masa depan belia yang cemerlang.

