PPNBD berkempen bersihkan masjid

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Sebagai salah satu kesinambungan program kebajikan dan kemasyarakatannya, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan kempen kebersihan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, kempen berkenaan adalah bersempena menjelangnya Hari Ulang Tahun Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ke-62 pada 26 September depan.

PPNBD dengan penyelarasan bersama pihak Masjid Omar ‘Ali Saifuddien telah merancang untuk memulakan kerja-kerja kemasyarakatan berkenaan kira-kira sebulan lebih awal dan dijadikan sebagai sebahagian program kebajikan dan kemasyarakatan
PPNBD yang dinamakan Projek Kasih Pengakap.

Projek berkenaan diketuai bersama oleh Awang Rakob bin Nasir dan Haji Ariffin bin Haji Sulaiman. Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang mana kehadiran beliau menjadi satu penghormatan dan pembakar semangat kepada peserta kempen, Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dan pegawai-pegawai masjid berkenaan. Projek berkenaan juga mendapat kerjasama pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Balai Polis Bandar Seri Begawan, Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Air, dan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan.

Selain ahli-ahli pengakap, projek turut disertai oleh ahli-ahli Persatuan Veteran ABDB dan sukarelawan awam.

Menurut PPNBD, projek tersebut diharap akan terus dilaksanakan secara berperingkat sehingga hari ulang tahun masjid tersebut.

Ahli-ahli pengakap bergotong-royong membersihkan masjid semasa kempen itu.