Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPNBD capai usia 90 tahun penubuhan

    Oleh Salawati haji Yahya
    Gambar serahan PPNBD

    Dalam menanai amanah untuk mendidik anak bangsa Brunei menjadi warganegara yang berguna dan berbakti kepada negara, banyak kejayaan dan pencapaian telah dikecapi oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang kini telah mencapai usia yang ke-90 tahun

    Dengan usia itu, PPNBD akan terus berusaha sedaya upaya untuk menyediakan program yang berimpak tinggi, berkualiti dan releven dengan keadaan semasa agar pergerakan ini terus diminati dan diikuti semua lapisan peringkat masyarakat.

    Tertubuhnya pergerakan pengakap ini adalah untuk membentuk sahsiah dan kemahiran serta memantapkan perkembangan, pembentukan penggunaan mental, fizikal, sosial, intelektual dan rohani untuk melibatkan diri dalam pembangunan masyarakat dan negara.

    Selain itu, ia membentuk dan mengembangkan nilai asas kehidupan selaras dengan persetiaan dan undang-undang pengakap serta menjaga keluhuran nilai keBruneian dan budi pekerti yang mulia.

    Latar belakang PPNBD

    PPNBD merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tertua di negara ini yang mula ditubuhkan pada tahun 1933 dengan ahli di peringkat awal seramai 12 orang.

    Antara ahli PPNBD yang terlibat dalam acara mengibar bendera.
    Pelbagai aktiviti turut disediakan oleh PPNBD untuk para ahlinya.
    PPNBD setakat ini mempunyai 1,000 orang ahli dari pelbagai peringkat umur.

    Pergerakan pengakap di Brunei terus berkembang apabila ia menubuhkan cawangannya di Daerah Tutong pada tahun 1936 di bawah pimpinan Allahyarham Dato Paduka Haji Othman bin Bidin.

    Manakala pada tahun 1940, pasukan pengakap pertama di Daerah Belait dengan 40 orang ahli ditubuhkan oleh Allahyarham Pehin Orang Kaya Laila Wangsa Dato Paduka Haji Mohammad Salleh bin Masri.

    Pada tahun 1939, pengakap negara telah didaftarkan di bawah The Boy Scout Association di London. Dengan pendaftaran ini, ia dapat membentuk persatuan tempatan Brunei.

    Pertubuhan ini telah diasaskan oleh Penguasa Pelajaran yang dipinjamkan oleh kerajaan Tanah Melayu kepada Pejabat Pelajaran Brunei, Awang Zainal Abidin bin Ali.

    Kaedah pengakap

    Program belia dalam pengakap secara keseluruhan merupakan peluang pembelajaran yang dapat dimanfaatkan oleh golongan muda, dicipta untuk mencapai tujuan pengakap, dan dialami melalui kaedah pengakap.

    Kaedah pengakap merupakan sistem pendidikan progresif kendiri melalui persetiaan dan undang-undang, belajar dengan cara membuat, keahlian dalam kumpulan kecil dan program yang progresif berdasarkan kepada minat golongan remaja.

    Di samping itu, ia merupakan sistem yang penting untuk mencapai tujuan pendidikan pergerakan pengakap selain ia ditakrifkan sebagai sistem pendidikan kendiri yang progresif.

    Ia juga merupakan satu kaedah berdasarkan interaksi unsur-unsur penting yang berfungsi sebagai satu sistem yang padu, dan pelaksanaan unsur-unsur ini adalah secara gabungan dan seimbang yang menjadikan pergerakan pengakap itu unik.

    Respons orang ramai

    PPNBD setakat ini mempunyai 1,000 orang ahli dari pelbagai peringkat umur yang mana dalam PPNBD, program belia dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

    Penerimaan orang ramai mengenai pergerakan ini adalah sangat menggalakkan terutama dalam kalangan ibu bapa, dan ia merupakan pertubuhan NGO tertua di Brunei Darussalam.
    Selain itu, pergerakan ini juga menawarkan kegiatan-kegiatan yang menjurus kepada pembangunan sahsiah diri kanak-kanak dan belia.

    Pergerakan ini juga mendapat perhatian daripada ahli yang berumur lebih dari 26 tahun dan juga mantan-mantan ahli yang pernah menyertai pergerakan pengakap semasa di sekolah dan ingin bergiat aktif semula untuk membantu pergerakan pengakap.

    Peranan PPNBD

    Antara peranan PPNBD dalam membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah daripada segi pembangunan belia, terutama pembangunan sahsiah kanak-kanak dan belia dengan menawarkan program-program belia yang menarik dan bersesuaian.

    Selain aktif dalam peringkat dunia dan serantau, ahli-ahli PPNBD terutama ahli Pengakap Dewasa turut terlibat semasa berlakunya pandemik COVID-19 bagi membantu kerajaan dengan menjadi sukarelawan dalam membendung penularan COVID.

    Dalam pada itu, PPNBD akan menganjurkan Jambori Nasional ke-5 pada bulan Disember 2023 yang merupakan acara kemuncak sambutan 90 tahun pergerakan pengakap di Brunei Darussalam.

    Harapan PPNBD

    Selaras dengan perkembangan dan pencapaian PPNBD, beberapa perancangan sedang giat dilaksanakan bagi meneruskan peranannya sebagai sebuah pergerakan belia yang menyediakan program dan latihan kepada para belia.

    Antara perancangan dan kerja yang sedang dilaksanakan ialah projek menaiktaraf Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, projek membina sebuah tapak perkhemahan pengakap kebangsaan yang khas dengan dilengkapi kemudahan-kemudahan asas dan kegiatan selain mempelbagai program latihan pengakap selaras dengan peredaran zaman.

    Karnival 90

    Dengan penganjuran Karnivak 90 (K90) yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, ianya dapat meningkatkan visibiliti PPNBD di negara ini.

    Selain itu, ia juga untuk memperingati perjalanan sepanjang 90 tahun pergerakan pengakap di negara ini dengan menghargai sejarah penubuhan PPNBD.

    Dengan adanya K90 ini, ia akan dapat mempelbagaikan lagi kegiatan pengakap di samping dapat meningkatkan keahlian pengakap terutama daripada golongan kanak-kanak hingga belia serta dapat menyediakan persepsi kepada ibu bapa tentang kebaikan dan kelebihan menyertai kegiatan luar khususnya pergerakan pengakap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda