Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sebagai sebuah organisasi yang sudah matang serta dipandang tinggi oleh masyarakat, maka adalah wajar bagi Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) untuk terus melipatgandakan usaha, yang menjurus kepada mendukung agenda pembangunan negara iaitu Wawasan Brunei 2035.
Justeru, PPNBD perlu bijak menembusi bidang-bidang yang berkeutamaan serta berimpak tinggi, dengan sentiasa menitikberatkan inisiatif-inisiatif berkaitan pembangunan kemahiran yang berasaskan teknologi dan juga pengupayaan keusahawanan.
Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Pengakap PPNBD semasa berangkat ke Majlis Sambutan Hari Pengakap ke-40 di Dewan Serbaguna Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut menaruh harapan tinggi agar para pesuruhjaya dan pemimpin pasukan pengakap akan sentiasa menerapkan aspek pembelajaran sepanjang hayat pada diri masing-masing dan perlu sentiasa peka dengan peredaran semasa bagi memastikan ianya sentiasa relevan dan diterima oleh seluruh masyarakat.
Dalam sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota semasa majlis tersebut turut mengucapkan tahniah kepada PPNBD, yang mana menjangkau usia ke-88 tahun, PPNBD masih kekal berdiri utuh dan mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dan umur untuk menyumbangkan tenaga di bawah naungannya.
“Saya juga penuh yakin, pergerakan pengakap di negara ini akan terus berperanan penting dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan modal insan yang syumul, khasnya golongan belia, dengan menerapkan sifat kepimpinan berkualiti dengan nilai-nilai murni yang kukuh.
“Ini adalah mustahak dalam mengharungi arus globalisasi yang pantas berubah, serta mendorong kepada pelaksanaan perubahan dalam setiap aspek kehidupan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Menurut Duli Yang Teramat Mulia, di sini lah betapa pentingnya pendidikan formal bagi generasi muda untuk digandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membantu dalam pembentukan peribadi dan pembangunan karakter masing-masing.
“Justeru, penglibatan dalam pergerakan pengakap yang disifatkan sebagai pergerakan pendidikan informal, merupakan antara platform terbaik ke arah pembangunan keupayaan holistik yang dimaksudkan.
“Sikap ‘selalu bersedia’ dalam konteks being prepared and staying relevant, yang diterapkan dalam diri seorang pengakap jugalah yang mendorong untuk berbakti secara berterusan. Ini telah dibuktikan melalui penglibatan mereka sebagai barisan hadapan dalam menangani pandemik koronavirus di negara ini,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Semasa majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia turut mengongsikan tiga ciri-ciri unggul dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang cenderung dipamerkan melalui kegiatan kesukarelawanan oleh para warga pengakap.
“Pada hemat saya, kecenderungan dalam kegiatan kesukarelawan yang ditunjukkan oleh warga pengakap boleh diterjemahkan kepada tiga ciri-ciri unggul dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
“Pertama, adanya tumpuan dan komitmen yang tinggi, dalam mana mereka bersedia untuk memberikan masa dan tenaga yang lebih secara konsisten, ke arah sama-sama memastikan kelangsungan pera-nan dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kedua, adanya kefahaman tentang keperluan setiap yang dibantu. Ini adalah antara kunci utama kepada keberkesanan pelaksanaan tindakan-tindakan bagi meraih sepenuhnya keberhasilan yang diharapkan. Sikap ‘tidak camah mata’ dan ‘ringan tangan’ yang dizahirkan oleh para pengakap yang terlibat adalah sangat dipuji,” sabdanya.
Akhir sekali menurut Duli Yang Teramat Mulia ialah sikap tangkas dan mudah mengadaptasi dengan keadaan dan persekitaran kerana ia sangat penting lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan situasi pandemik yang menuntut perbatasan sosial, di samping keperluan memenuhi kehendak setiap yang memerlukan, termasuklah dari sudut memelihara kesejahteraan emosi dan psikologi masing-masing.