Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 7 DIS – Pergerakan pengakap di Brunei Darussalam tidak dapat dinafikan telah banyak menyumbang kepada pembangunan belia dan negara.
Kewujudan dan kelangsungan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) diharapkan sebagai ejen pembentukan barisan generasi muda dan remaja dalam bersama-sama menyantuni serta mendukung aspirasi dan menjayakan wawasan negara.
Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Ketua Pengakap PPNBD, semasa berkenan berangkat bercemar duli ke majlis penutup rasmi Jambori Nasional ke-5 Brunei Darussalam di Padang Dewan Kemasyarakatan Bukit Bendera, Daerah Tutong, petang tadi.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota turut bersabda, semenjak penubuhan PPNBD pada tahun 1933, pergerakan pengakap di Brunei melangkah setapak demi setapak mengikuti arus dan perkembangan pergerakan pengakap seluruh dunia sama ada di peringkat serantau mahu pun antarabangsa.
Sabda Duli Yang Teramat Mulia, ini bertepatan dengan antara kandungan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di upacara Perasmian Jambori Nasional kali ke-5 pada 4 Disember lalu, di mana Baginda Sultan menyentuh melalui tema Jambori Scouts on the Move adalah mencerminkan para pengakap yang sentiasa aktif dan bersedia menghadapi cabaran dengan berbekalkan nilai undang-undang dan kemahiran-kemahiran abad ke-21 sebagai skills set yang perlu dipelajari dan miliki.

Duli Yang Teramat Mulia turut merakamkan kegembiraan dengan adanya Jambori Nasional ke-5 yang telah berlangsung sejak 2 Disember lalu adalah merupakan wadah kepada semua ahli pengakap untuk saling mempelajari serta menimba pengalaman yang sangat berharga.
“Di samping itu, ia juga memberikan peluang berinteraksi dalam kalangan ahli pengakap dari dalam dan luar dengan pertukaran pandangan dan pengetahuan serta pengalaman yang berguna untuk kemajuan diri dan pasukan masing-masing melalui pelbagai kegiatan jambori yang diaturkan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia bersabda mengucapkan syabas kepada PPNBD yang telah berjaya mengungkayahkan Jambori Nasional dan setinggi-tinggi tahniah di atas pencapaian ulang tahun ke-90 kegiatan berpengakap di negara ini.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya mengalu-alukan penyertaan pasukan pengakap dari negara jiran dan antarabangsa lainnya pada Jambori Nasional ke-5 ini yang membuktikan bahawa kegiatan berpengakap adalah menyumbang secara langsung kepada merapatkan dan memantapkan semangat kesetiakawanan serta perpaduan serantau dan sejagat.
Pada akhir sabda, Duli Yang Teramat Mulia merakamkan setinggi penghargaan kepada semua agensi kerajaan, swasta, NGO, semua peringkat jawatankuasa yang terlibat bagi bersama-sama menjayakan Jambori Nasional ke-5 serta seluruh pasukan pengakap yang menyertainya.
“Kepada anggota pasukan pengakap dari negara jiran dan antarabangsa, saya yakin mereka akan membawa balik pengetahuan dan pengalaman serta kenangan manis di sepanjang mengikuti jambori ini dan akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan yang dijalin melalui jambori ini dan kemanfaatannya pada masa hadapan. Kepada mereka ini saya mengucapkan selamat kembali ke tanah air masing-masing dengan selamatnya,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

