Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menghantar dua wakil bagi menghadiri Forum Pengakap Asia Pasifik Kali ke-11, Taiwan.
Rombongan delegasi negara yang terdiri daripada Afiq Zaki bin Suhaili, dan Muhammad Azfarizul Faqhri bin Azaman yang mana kedua-duanya merupakan ahli Pengakap Kelana Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku Ahli Sekretariat Pengakap Kelana Kebangsaan (SPKK) Negara Brunei Darussalam, hari ini, berlepas ke Taiwan.

Acara dimulakan dengan ucapan dan nasihat oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Skip Haji Junaidi bin Hj Hussin, kepada kedua-dua delegasi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan agar para peserta sentiasa membawa nama baik negara serta mengamalkan nilai-nilai kepimpinan, disiplin dan perpaduan yang menjadi teras pergerakan pengakap.
Majlis turut diserikan dengan bacaan doa selamat sebelum kedua-dua delegasi berangkat meninggalkan negara menuju ke Taiwan bagi menghadiri forum tersebut.
Turut hadir di Lapang Terbang Antarabangsa bagi mengucapkan selamat belayar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Skip Lt Kol (B) Ramli bin Abdul Hadis, Pesuruhjaya Antarabangsa, PPNBD Skip Ritchie Siabu, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Alam Sekitar Skip Mohammed Sufri @ Bohari bin Haji Sabli, dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Skip Harzuna bin Haji Ismail.
Forum Pengakap Asia Pasifik Kali ke-11 ini dijangka menjadi wadah penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta memberi peluang kepada wakil muda Brunei untuk berkongsi pandangan dan memperkembangkan kepimpinan mereka di peringkat antarabangsa.

