BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), semalam, telah meraikan Ulang Tahun ke-5 Hari Menanam Pokok
PPNBD dengan mengadakan program penanaman pokok di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap di Ibu Pejabat PPNBD.
Menurut kenyataan yang diberikan, sambutan bertujuan untuk memperingati Sambutan Hari Menanam Pokok PPNBD yang telah diisytiharkan
pada setiap 1 Jun dan meneruskan konsep Tanam – Pelihara – Pantau – Tanam (TPPT) sebagai satu budaya pemeliharaan projek yang sedang dijalankan dam memberi ruang penglibatan kepada ahli pengakap dan orang ramai supaya terlibat secara langsung di dalam kegiatan penanaman pokok bagi mengekalkan penghijauan alam sekitar.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Metussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Sambutan juga diselajurkan dengan penyampaian skaf dan lencana Messengers of Peace yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.
Kemudian, acara menyak-sikan penyampaian pokok kepada persatuan-persatuan pengakap daerah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat yang mana pokok-pokok berkenaan akan ditanam di ibu pejabat daerah pengakap masing-masing.
Acara kemuncak majlis ialah program menanam pokok di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap di Ibu Pejabat PPNBD.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Yang Di-Pertua PPNBD, Pengiran Wahab bin Pengiran Haji Hassan, ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan dan Majlis Pengakap Daerah, para pesuruhjaya pengakap, penolong pesuruhjaya daerah, pemimpin-pemimpin dan penolong pemimpin pengakap serta ahli-ahli pengakap.
Program menanam pokok berkenaan diperkenalkan sebagai menyuntik sikap dan semangat kesedaran mengenai penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan ahli-ahli pengakap serta meningkatkan kesedaran ahli-ahli pengakap mengenai kepentingan alam sekitar.