TEMBURONG, 30 OGOS – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan meraikan Hari Skaf Pengakap Sedunia sempena Hari Pengakap Sedunia 2020,
hari ini.
Majlis sambutan peringkat PPNBD berkenaan berlangsung di Ruang Legar Super Tree, Pekan Bangar, Temburong di mana sambutan dirasmikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim selaku tetamu kehormat majlis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, Sambutan Hari Skaf Penga-kap Sedunia merupakan upacara tahunan yang disambut oleh ahli pengakap seluruh dunia setiap kali menjelang 1 Ogos.
Pada sambutan tersebut, setiap ahli pergerakan yang tidak aktif dan yang aktif digalakkan untuk memakai skaf masing-masing sebagai sokongan yang menunjukkan semangat yang tidak pernah pudar dalam diri ahli pengakap. Dengan erti kata lain ‘Once a Scout, Always a Scout’ (sekali berpengakap akan terus berpengakap).
Antara objektif penganjuran acara berkenaan adalah untuk memberigakan kegiatan-kegiatan pengakap kepada orang ramai dan selain itu untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Skaf Pengakap Sedunia di peringkat negara.
Selepas majlis perasmian, tetamu kehormat turut dibawa menyaksikan pameran-pameran skaf pengakap yang disertai oleh ahli-ahli pengakap.
Pada sambutan berkenaan, Yang DiPertua PPNBD, Haji Metusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat manakala Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali mengalungkan skaf khas.
Selain pameran skaf, acara-acara sampingan juga diketengahkan antaranya pameran lencana-lencana pengakap, baju-baju pengakap dari luar negara, pertandingan Beyblade yang terbuka kepada orang ramai dan kuiz-kuiz yang berkaitan dengan pergerakan pengakap di Negara Brunei Darussalam.
