Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Dalam menyemarakkan kemeriahan suasana bulan Syawal yang mulia ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Persatuan Pengakap Daerah Temburong tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya bagi sama-sama mengeratkan lagi ikatan silaturahim, jalinan kerjasama dan bermaaf-maafan antara ahli-ahli pengakap dengan kepimpinan pengakap Daerah Temburong.
Majlis Rumah Terbuka Persatuan Pengakap Daerah Temburong itu telah berlangsung di kediaman Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin, baru-baru ini.
Turut hadir bagi sama-sama memeriahkan sambutan itu ialah ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNDB, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, ketua pegawai eksekutif, pegawai eksekutif, pesuruhjaya antarabangsa, pemangku pesuruhjaya pengakap Daerah Tutong dan penolong pengurus hartanah.

Ketibaan rombongan daripada Ibu Pejabat PPNBD di majlis berkenaan, dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Husin, Penghulu Mukim Bangar, Penghulu Mukim Batu Apoi, Haji Matzin bin Haji Awang, penolong-penolong pesuruhjaya pengakap Daerah Temburong, pemimpin-pemimpin pengakap dan ahli-ahli pengakap Daerah Temburong.
Menurut Haji Awang Badar, dengan kehadiran beliau bersama pegawai-pegawai Pengakap daripada Ibu Pejabat PPNBD akan lebih merapatkan dan mendekatkan yang jauh dalam segala bidang kegiatan kepengakapan di samping dapat sama-sama bagi menikmati suasana kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Daerah Temburong.