Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Ahli-ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) akan menyertai Jambori Pengakap Sedunia kali ke-25, Korea Selatan.
Seramai 28 orang peserta dari Brunei yang terdiri empat orang ahli dewasa, 18 orang ahli-ahli pengakap muda dan pengakap remaja, dibantu oleh enam orang ahi pengakap kelana yang akan menjadi International Service Team semasa jambori nanti.
Jambori Pengakap Sedunia dianjurkan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia yang mana pada edisi kali ke-25 itu, Persekutuan Pengakap Korea menjadi tuan rumah bagi perkhemahan belia terbesar di dunia itu.
Jambori dunia itu yang diadakan setiap empat tahun, dijangkakan melibatkan seramai lebih 50,000 peserta yang terdiri daripada belia-belia yang berumur 12 hingga 17 tahun dan pemimpin-pemimpin pengakap yang terdiri dari 170 negara akan berkongsi kebudayaan negara masing-masing dan pengalaman kepengakapan semasa jambori berkenaan.
Jambori Pengakap Sedunia tersebut akan diadakan di Saemangeum, Buangun, Jeollabuk-do, Korea Selatan dengan tema Draw Your Dream.
Jambori Pengakap Sedunia ke-25 dijadualkan diadakan pada 1 hingga 12 Ogos.
Pelbagai kegiatan telah dirancang oleh Persatuan Pengakap Korea antaranya aktiviti-aktiviti lasak, program matlamat pembangunan mampan, penggunaan teknologi hijau dan teknologi terkini dan perkongsian budaya antara negara.
Hadir mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen PPNBD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei baru-baru ini ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas; dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Haji Abdul Manan bin Haji Abdul Latip, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap serta ahli keluarga peserta berkenaan.