Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-110 penubuhan pergerakan pengakap sedunia, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Negeri Sabah telah mengambil inisiatif menganjurkan Larian Antarabangsa 2017.
Sehubungan dengan itu, sebagai menyokong serta bersesuaian dengan semangat persaudaraan yang sedia terjalin, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan untuk menghantar rombongan seramai 56 orang bagi menyertai larian berkenaan yang berlangsung di Stadium Hoki Likas, Kompleks Sukan, Kota Kinabalu, Sabah, pada 25 Februari lalu.
Hadir untuk menyempurnakan pelepasan para peserta dalam acara larian berkenaan ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, Datuk Teo Chee Kang yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman.
Datuk Teo Chee Kang dipetik menyatakan bahawa pergerakan pengakap adalah satu organisasi yang baik untuk memupuk semangat berdisiplin di kalangan orang-orang muda khasnya untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Larian itu menyaksikan penyertaan peserta-peserta dari luar negara yang terdiri daripada ahli-ahli pengakap Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, Vietnam, Bangladesh serta Negeri Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut menyertai larian itu ialah Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Malaysia, Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin bin Bidin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Datuk Dr. Haji Awang Zaini bin Haji Suntim, penolong-penolong ketua pesuruhjaya Pengakap Persekutuan Pengakap Malaysia, timbalan-timbalan ketua pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, penolong-penolong pesuruhjaya pengakap Negeri Sabah, Pemimpin-pemimpin pasukan pengakap dan ahli-ahli Pengakap Negeri Sabah.
Menurut Pengerusi Larian Antarabangsa berkenaan selaku Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Raymond G. Epun, larian itu disertai oleh lebih 2,000 orang peserta yang mengambil bahagian dalam dua kategori larian iaitu 5 kilometer dan 10 kilometer yang disertai oleh ahli-ahli pengakap Negeri Sabah, pelajar sekolah dan juga masyarakat tempatan sendiri.
Manakala itu, daripada PPNBD, ia disertai oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif PPNBD, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, pemimpin-pemimpin pasukan pengakap, ahli pengakap Kelana, Pengakap Remaja dan Pengakap Muda.
Larian itu merupakan salah satu aktiviti untuk memperingati sejarah penubuhan pergerakan pengakap sedunia dengan memberikan peluang kepada ahli-ahli pengakap serta masyarakat berhimpun bagi merayakan ulang tahun penubuhan pergerakan Pengakap juga dapat membina, memupuk dan melahirkan ahli-ahli pengakap serta masyarakat yang kuat fizikal dan jati dirinya.