Friday, January 31, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPP penting untuk pacu ekonomi digital ASEAN

    KUALA LUMPUR, 17 OKT – Perkongsian awam-swasta (PPP) berperanan penting dalam membentuk masa depan ASEAN, khususnya untuk memacu ekonomi digital ke hadapan kerana sektor itu merupakan tulang belakang kemajuan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Anuar Fariz Fadzil.

    Beliau berkata menerusi kerjasama, kerajaan dan sektor swasta boleh mempercepat penggunaan teknologi transformatif, mewujudkan persekitaran dengan inovasi yang berkembang maju manakala perniagaan boleh berkembang pesat.

    Kecerdasan buatan (AI) bersedia menjadi anjakan perubahan untuk Malaysia dan rantau ASEAN, katanya dalam kenyataan sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

    Baru-baru ini, Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo menyuarakan keyakinannya bahawa ekonomi digital Malaysia berada di landasan untuk mengatasi unjuran sumbangan sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2025.

    Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan bagi menyelaraskan inisiatif, termasuk melengkapkan pelan tindakan teknologi lima tahun dan rangka kerja kawal selia dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk meningkatkan penggunaan AI secara beretika dan mampan.

    Anuar Fariz berkata AI akan berperanan penting dalam membentuk semula industri, meningkatkan kecekapan operasi dan memacu produktiviti.

    “Ia mempunyai potensi untuk mempercepat transformasi digital di seluruh ASEAN, memastikan ekonomi kita kekal tangkas dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda