Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Fardu Asar Berjemaah, hari ini, sempena Hari Kemasyarakatan ke-15 tahun persatuan itu.
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa, Berakas itu antara lain bertujuan memanjatkan kesyukuran dan meraikan ahli-ahli persatuan yang telah terlibat dalam pelbagai kegiatan atau projek khidmat masyarakat.
Ia juga mempromosikan budaya berkhidmat kepada masyarakat dan sentiasa menolong orang yang merupakan sebahagian daripada persetiaan persatuan berkenaan.
Majlis diisikan dengan Doa Kesyukuran diikuti dengan solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali serta ahli-ahli PPPBD yang lain.
Pada tahun ini, persatuan berkenaan telah dan akan menjalankan pelbagai kegiatan dan projek kemasyarakatan dengan sokongan ahli-ahli dari semua peringkat.
Antara kegiatan dan projek kemasyarakatan yang akan dijalankan termasuklah projek berterusan persatuan berkenaan, Projek Titian Kasih PPPBD dan Kempen Kebersihan Pantai serta rangkaian kegiatan kemasyarakatan yang telah dijalankan di bulan Ramadan.



