Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Bagi menyambut dan mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) pagi tadi telah mengadakan Majlis Bertadarus dan Khatam Al-Quran PPPBD 1439H/2018M yang berlangsung di ibu pejabat persatuan berkenaan.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan Doa Khatam Al-Quran yang diketuai oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani dan kemudian diteruskan lagi dengan bacaan Tahlil dan Doa Surah Yasin bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Majlis tersebut dihadiri oleh Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris; Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawie; Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Aji; Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Hajah Viviyanti binti Haji Aji serta ahli-ahli persatuan yang lain.


Sebanyak empat buah kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli majlis jawatankuasa tadbir, pemimpin-pemimpin dewasa, pemimpin-pemimpin muda, Pandu Puteri Ranjer dan Pandu Puteri yang telah menyertai bacaan masing-masing untuk melengkapkan bacaan kesemua 30 juzuk Al-Quran bagi kumpulan masing-masing.
Majlis keagamaan penuh keberkatan itu diadakan adalah untuk memupuk pembacaan Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan dan mendidik ahli-ahli persatuan dari aspek kerohanian serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah di antara satu sama lain.