Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi.
Turut hadir, naib-naib yang di-pertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali serta Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.
Majlis kemudian diikuti dengan bacaan doa memulakan bacaan Al-Quran dan takhtim oleh peserta-peserta khatam Al-Quran yang dipimpin oleh peserta-peserta dari Unit Pemimpin Muda Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Sementara itu, bacaan Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman, manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD.
Pada majlis berkenaan tiga kumpulan pembaca yang terdiri daripada ahli-ahli majlis jawatankuasa tadbir, pemimpin-pemimpin dewasa, pemimpin-pemimpin muda, Pandu Puteri Renjer dan Pandu Puteri telah menyelesaikan bacaan masing-masing untuk melengkapkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.