PPPBD beramal agih bubur

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Dengan hasrat untuk mendedahkan ahli-ahlinya kepada budaya berkhidmat untuk masyarakat, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah mengadakan Projek Sedekah Bubur Asyura PPPBD yang diadakan di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa, Berakas, hari ini.

Projek Sedekah Bubur Asyura PPPBD untuk diagih-agihkan kepada orang ramai itu merupakan salah satu daripada kegiatan tahunan persatuan berkenaan dalam bulan Muharram serta merupakan sebahagian daripada rangkaian kegiatan amal dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh ahli-ahli persatuan pada tahun ini.

Kegiatan itu menyaksikan penyertaan ahli-ahli PPPBD daripada semua peringkat di mana mereka dengan semangat bergotong-royong memasak dan membungkus kira-kira 400 pek bubur ayam dan bubur kacang untuk diagih-agihkan kepada orang ramai terutama golongan yang memerlukan termasuk mereka yang disenaraikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kompleks Rumah Kebajikan (KRK).

Turut hadir dalam kegiatan berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim, penolong-penolong ketua pesu-ruhjaya serta pesuruhjaya-pesuruhjaya persatuan.

Menerusi penyertaan ahli-ahli persatuan dalam projek bertema ‘Berkongsi Rezeki Meraih Keberkatan’ itu, ia dapat menyemarakkan lagi Sambutan Awal Tahun Hijrah 1441 dan memperingati momentum peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah.

Ia juga bermatlamat untuk menanamkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan ahli khususnya kanak-kanak perempuan dan wanita muda dalam memastikan setiap kerja atau tugasan yang diamanahkan dilaksanakan dengan ikhlas bagi memperoleh keredaan dan keberkatan serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sambil bergotong-royong dan saling bekerjasama dalam menjalankan kegiatan yang bermanfaat lagi
berkebajikan.

Projek itu dipercayai dapat mendedahkan ahli-ahli persatuan kepada budaya berkhidmat untuk masyarakat dan memantapkan sifat-sifat jati diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan melalui projek kegiatan amal dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh persatuan, mendidik ahli muda supaya sentiasa bersiap-sedia untuk berbakti kepada masyarakat, ugama, bangsa dan negara bersesuaian dengan cogan kata pandu puteri iaitu siap sedia serta meningkatkan kemahiran mereka.