Saturday, October 19, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPPBD, KUPU SB erat kerohanian melalui pertandingan Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) dengan kerjasama Unit Pemimpin Muda Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran Senegara yang berlangsung di kolej berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Hasbi.

    Lima kategori dipertandingkan iaitu Kategori Pandu Puteri Tunas, Kategori Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranjer, Kategori Pemimpin Muda, Kategori Pemimpin Dewasa dan Kategori Ahli Majlis dan Pesuruhjaya.

    Johan bagi Kategori Pandu Puteri Tunas dimenangi oleh Dayangku Latheefah binti Pengiran Haji Muhamad Lizam, Kategori Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranger pula, johan dimenangi oleh Dayang Nur Bazilah Syahdina @Nur Ramadhani binti Haji Mohamad Aslenan dan johan Kategori Pemimpin Muda, Dayang Nur Irdina binti Sarudin.

    Manakala johan Kategori Pemimpin Dewasa, Dayang Lina Musfirah binti Haji Abdul Wahab dan Dayang Hamizah binti Haji Tahamit diumumkan sebagai johan Kategori Ahli Majlis dan Pesuruhjaya.

    Datin Hajah Nahriah menyampaikan hadiah kepada salah seorang johan dalam kategori yang dipertandingkan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Datin Hajah Nahriah hadir selaku tetamu kehormat bersama tetamu yang lain di majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara ahli persatuan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Pertandingan diadakan sempena Sambutan Hari Pandu Puteri PPPBD 2024 itu bertujuan untuk memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran di kalangan ahli persatuan dan mendidik ahli daripada aspek kerohanian.

    Di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah dalam kalangan ahli persatuan.

    Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran Senegara PPPDB bagi tahun 1446H/2024M telah disertai 21 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan dari semua peringkat daripada Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait.

    Majlis itu turut mendengar ulasan hakim pertandingan, Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.

    Terdahulu majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan, majlis diserikan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada johan bagi setiap kategori.

    Di samping kegiatan perkembangan kemahiran, kemasyarakatan dan kebudayaan, persatuan juga turut aktif dalam mengungkayahkan kegiatan-kegiatan yang bersifat kerohanian dan keagamaan yang melibatkan penyertaan ahli-ahli daripada semua peringkat.

    Ini bersesuaian dengan misi persatuan untuk membolehkan ahli-ahli mengembangkan potensi diri sepenuhnya. Turut hadir di majlis itu, Penolong Raes Hal Ehwal Akademik, KUPU SB, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris selaku Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD dan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda