Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPPBD lancar Walk for Peace promosi keamanan, gaya hidup sihat

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Dengan matlamat untuk menanamkan nilai kedamaian dan keamanan dalam kalangan ahli pandu puteri, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah mengadakan Acara Walk for Peace sempena Sambutan Hari Kedamaian Sedunia 2024 di Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri, Anggerek Desa, Berakas, hari ini.

    Sambutan acara berkenaan merupakan salah satu daripada kegiatan tahunan PPPBD, di mana kali ini ia bertemakan, Mengekalkan Keamanan dan Keharmonian.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

    Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini; pesuruhjaya-pesuruhjaya; serta ahli-ahli PPPBD.

    Acara dimulakan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena hari kedamaian oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani, diikuti dengan penyampaian tazkirah ringkas bertajuk, Keamanan oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman.

    Acara diteruskan dengan aktiviti senamrobik dan diikuti dengan pelancaran Walk for Peace oleh tetamu kehormat, di kawasan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Acara tersebut bermatlamat untuk menyambut dan meraikan Hari Kedamaian Sedunia 2024, mempromosi amalan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal dan riadah, mempromosi kesedaran pentingnya keamanan sejagat serta meningkatkan dan mengukuhkan perasaan muhibah dan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan.

    Hari Kedamaian Sedunia disambut pada setiap 21 September di mana ia membawa tema, Membangun Budaya Damai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda