PPPBD meriahkan Hari Asyura

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sebanyak 1,000 kontena bubur nasi dan bubur ubi telah dihasilkan oleh ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) dalam Projek Sedekah Bubur sempena Hari Asyura, hari ini, dan diagihkan kepada 20 orang yang menerima bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), orang yang memerlukan dan orang ramai.

Projek yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Anggrek Desa, Berakas itu merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan dalam bulan Muharram selain sebagai sebahagian daripada rangkaian kegiatan amal dan kemasyarakatan yang diungkayahkan oleh persatuan berkenaan pada tahun ini.

Kegiatan berkenaan melibatkan ahli persatuan bergotong-royong memasak dan menyediakan bubur nasi dan bubur ubi untuk diagihkan di samping itu, projek berkenaan dimeriahkan dengan sumbangan pakaian terpakai kepada golongan yang memerlukan.
Dengan adanya projek seumpamanya, ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sambil bergotong-royong dan bekerjasama dalam menjalankan kegiatan yang bermanfaat lagi berkebajikan.

Ahli-ahli persatuan bergotong-royong memasak dan menyediakan bubur nasi dan bubur ubi untuk diagihkan.
Projek Sedekah Bubur juga diteruskan dengan sumbangan pakaian terpakai kepada golongan yang memerlukan.