Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPPBD terus aktif anjur aktiviti bermanfaat

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun ini, hasil komitmen dan kerjasama erat antara jawatankuasa tadbir, pemimpin dan ahli-ahli persatuan di seluruh negara.

    Meskipun Ibu Pejabat PPPBD belum dapat beroperasi sepenuhnya, namun pelbagai kegiatan tetap dijalankan dengan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini, dalam sembah alu-aluannya semasa Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong, petang tadi.

    Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Di-Pertua PPPBD. Dalam sembah alu-aluannya juga, Dayang Norazrina mengongsikan menyembahkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin-Nya yang membolehkan sambutan tahun ini dilaksanakan dengan jayanya.

    Menurut beliau, keberangkatan Yang Teramat Mulia amat bermakna kepada seluruh ahli persatuan dan menjadi dorongan besar untuk terus memperkukuhkan aktiviti kepanduan yang memberi manfaat kepada golongan belia.

    Dayang Norazrina semasa menyembahkan alu-aluan pada Majlis Khatam Al-Quran semoena Sambutan Hari Pandu Puteri Tahun 2025, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Keberangkatan Tuanku amat kami sanjung tinggi. Sokongan dan keprihatinan Tuanku terhadap perkembangan PPPBD menjadi pembakar semangat kepada semua ahli untuk terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” sembah beliau.

    Sementara itu, beliau turut mengongsikan antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah program anjuran Unit Pemimpin Muda Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) seperti Program Zero Hunger: Full Hearts – A Meal of Gratitude, yang memberi peluang kepada para pemimpin muda menyalurkan sumbangan makanan kepada masyarakat di Bandarku Ceria.

    Selain itu, Unit Pemimpin Muda turut menganjurkan Program Sehari Bersama Pemimpin Muda dengan penglibatan pemimpin muda dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Pusat Tingkatan Enam Meragang dan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah.

    Dalam sembah alu-aluannya, Dayang Norazrina juga merakamkan penghargaan kepada naib-naib yang di-pertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali; Naib Yang Di-Pertua PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali, serta semua ahli majlis dan pemimpin sekolah yang terus memberikan sokongan kepada program-program persatuan.

    Turut disembahkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pembangunan, serta media massa dan media cetak atas kerjasama menjayakan aktiviti sepanjang tahun ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda