Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPPDB bakal anjur Kejohanan Pingpong Terbuka Brunei 2025

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 12 JUN – Persatuan Pingpong Daerah Belait (PPPDB) akan menganjurkan Kejohanan Pingpong Terbuka Brunei 2025 yang merupakan acara tahunan mereka bermula pada 24 Ogos, dengan pendaftaran dibuka kepada orang ramai.

    Hadir memberi penerangan secara terperinci mengenai kejohanan yang akan diadakan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 tahun itu ialah pengerusi persatuan berkenaan, Raymond Lee, diiringi oleh pengerusi penganjur, Alex How; dan ahli jawatankuasa.

    “Sama seperti kejohanan tahun lalu, kejohanan tahun ini akan menyaksikan peserta bersaing dalam empat kategori, Perseorangan Lelaki (Terbuka), Perseorangan Wanita (Terbuka), Perseorangan Lelaki (Umur 18 dan ke bawah) dan Perseorangan Perempuan (Umur 18 ke bawah),” jelas Raymond Lee.

    Sementara itu, Alex How menambah, mereka yang ingin mendaftar boleh berbuat demikian dengan melengkapkan borang pendaftaran dalam talian di https://t.ly/hRa7i, di samping menyediakan butiran yang diperlukan seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan yuran penyertaan.

    Tarikh tutup pendaftaran dijadualkan pada 25 Julai, diikuti dengan undian kurungan kejohanan pada 3 Ogos.

    Maklumat lanjut mengenai kejohanan dan pendaftaran boleh diperoleh dengan menghubungi Foo Chie Chia di 890 6398, Raymond Lee di 878 8750, dan Alex How di 888 1225.

    “Kami bertuah kerana mendapat sokongan daripada Pejabat Daerah Belait dalam penganjuran kejohanan tahunan ini. Kami juga berterima kasih atas sokongan Loo Soon Nin dan Kafe Zuki kerana menaja trofi kejohanan itu,” tambah Raymond Lee.

    Kejohanan itu dijadual akan diadakan pada 24 Ogos bagi perseorangan lelaki dan wanita, 31 Ogos bagi perseorangan lelaki dan perempuan bawah 18 tahun, dengan perlawanan akhir bagi setiap kategori pula diadakan pada 7 September.

    Alex How dan ahli jawatankuasa yang hadir pada sidang media tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda