BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 tahun, bertempat di Ibu Pejabat PPPMB, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Presiden Pentadbiran dan Dasar, PPPMB, Haji Mohd Zulkifli bin Pehin Penyurat Haji Awang Mohd Salleh.
Majlis itu telah dikendalikan oleh Bahagian Sosial dan Kebajikan, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Sosial dan Kebajikan, Haji Yahya bin Haji Awang Damit. Turut hadir di majlis tersebut adalah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli PPPMB.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Mohd Zafren bin Haji Mohd Said, diikuti dengan Selawat Tafrijiah dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Sultan senantiasa dilimpahi rahmat, sihat walafiat dan dilanjutkan usia dengan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.
Majlis itu mencerminkan komitmen berterusan PPPMB dalam mendukung nilai-nilai keagamaan, kenegaraan dan kasih sayang kepada institusi Kesultanan Brunei. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan dan simbolik penyatuan hati serta semangat kekeluargaan dalam PPPMB.
