Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dalam usaha merapatkan jurang generasi dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang inovasi yang dipimpin oleh belia, Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah menganjurkan Bual Bicara Ekonomi Melayu (BBEM) Edisi Ke-6 di Baiduri Enterprise Hub, baru-baru ini.
Sesi bicara yang bertema ‘Inovasi Dipimpin Belia: Masa Depan Usahawan Melayu’ diadakan bersempena dengan sambutan Hari Belia dengan memberi penekanan kepada kepentingan peranan belia dalam memacu ekonomi.
Antara matlamat BBEM itu adalah untuk memperkasa semua usahawan Melayu, tanpa mengira usia, untuk menyesuaikan diri, berkembang, dan bersama-sama membentuk masa depan yang mampan dan makmur bagi ekonomi Brunei.
Bual bicara itu menampilkan tiga ahli panel berpengalaman yang berkongsi wawasan berharga daripada bidang masing-masing yang terdiri daripada Rayyan bin Sufian, Haji Sairul Rhymin bin Mohamed, dan Dannie Azzura bin Haji Abu Basrah.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden PPPMB, Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Chuchu, diikuti dengan gambaran keseluruhan sesi oleh Timbalan Presiden Perdagangan PPPMB, Haji Suni Haji Sulaiman.
Perbincangan panel selama 90 minit itu diisi dengan dialog interaktif, meneroka sinergi antara kebijaksanaan berpengalaman dan pendekatan inovatif, yang kemudian di ikuti dengan sesi soal jawab.
Ketua Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Isa Liew menjelaskan, “ program BBEM menyediakan wadah penting bagi perkongsian pandangan dan pengalaman dalam kalangan komuniti perniagaan, dan pertukaran idea antara generasi merupakan salah satu elemen yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang berterusan”.
Di acara itu, Timbalan Presiden Ekonomi PPPMB, Rizan Latif dalam ucapan penutup telah merumuskan inti pati utama yang diperoleh daripada sesi tersebut dengan menekankan kepentingan kerjasama antara generasi dan semangat tidak berputus asa dalam menghadapi perubahan.
PPPMB terus komited dalam misinya untuk memperkasa usahawan Melayu, memacu pertumbuhan ekonomi, dan membina komuniti perniagaan yang teguh dan berdaya saing di Brunei Darussalam. Acara seperti BBEM ini menjadi platform penting untuk mencapai matlamat tersebut.


