Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah menerima kunjungan delegasi usahawan dari Surabaya, Indonesia yang diiringi oleh Persatuan Persahabatan Brunei Darussalam-Indonesia (BRUDIFA) dalam acara padanan perniagaan di Ibu Pejabat PPPMB, baru-baru ini.
Hadir di acara itu ialah Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif. Antara lain tujuan kunjungan itu adalah untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau dan membuka peluang kepada usahawan kedua-dua negara untuk menjalinkan kerjasama perniagaan.
Kunjungan delegasi Surabaya itu mencerminkan komitmen bersama dalam menjana pertumbuhan ekonomi rentas sempadan, terutamanya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Di acara itu, ahli-ahli peniaga Surabaya yang disertai oleh pelbagai wakil industri berpeluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, tekstil, kraf tangan kepada ahli PPPMB melalui sesi pembentangan dan pameran mini.
Ahli peniaga juga turut menjalani sesi padanan perniagaan yang membolehkan mereka berbincang mengenai potensi kerjasama dalam bidang masing-masing.


