PPSB, McDonald anjur perlawanan bola

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Dalam usaha memberi sokongan terhadap Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Peak Performance Sdn Bhd (PPSB) akan menganjurkan PPSB and McDonald Junior Age Group Football Tournament pada 17 November ini.

Kejohanan yang akan bermula pada pukul 8 pagi di Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) itu adalah selaras dengan objektif PPSB dalam memberi galakan kepada cara hidup sihat seterusnya menyediakan laluan untuk generasi atlet akan datang.

Perkara ini dijelaskan semasa sidang media hari ini di McDonald cawangan Gadong bersama Penyelaras Bolasepak Junior Pengiran Aliudin bin Pengiran Haji Samsuddin; Ketua Jurulatih PPSB Bolasepak Junior, Jasdi bin Haji Abdul Ghafar dan Sharizam bin Haji Samat dari McDonald.

Pengiran Aliudin menjelaskan, pada tahun ini sebanyak 28 kumpulan dari kelab bolasepak dan organisasi di seluruh Daerah Brunei dan Muara menyahut cabaran dalam kejohanan sehari itu.

“Pada kejohanan kali ini, empat kategori dipertandingkan iaitu kategori umur antara tujuh hingga lapan tahun, kategori sembilan hingga 10 tahun, kategori 11 hingga 12 dan kategori yang terbaharu diserapkan ke dalam kejohanan ini bagi kumpulan yang berumur antara 13 hingga 14 tahun,” jelasnya.

Sidang media bersama Pengiran Aliudin, Jasdi dan Sharizam di McDonald, Cawangan Gadong.

Beliau seterusnya menambah, kejohanan pada tahun ini merupakan kali kedua diadakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan berbanding pada tahun sebelum ini yang hanya mendapat penyertaan 21 buah kumpulan sahaja.

Manakala ketua jurulatih PPSB Bolasepak Junior turut menjelaskan melalui akademi di PPSB yang memberikan latihan asas dalam bidang sukan bolasepak ini, setakat ini lebih lima peserta diserapkan untuk menjalani latihan dengan NFABD.

Manakala pada kejohanan dan karnival itu nanti, McDonald juga akan menyediakan 100 cawan minuman selain dimeriahkan dengan kehadiran maskot McDonald.

Kejohanan itu turut dimeriahkan dengan karnival sukan yang merupakan sukan tahunan PPSB di mana pada tahun ini, karnival berkenaan bertema Sukan dan Karnival Sains dianjurkan bersama Nutty Scientist dengan disertai oleh 10 rakan gim untuk memeriahkan lagi karnival berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang berkunjung ke karnival berkenaan dan untuk menyertai dalam aktiviti di karnival itu yang mana baucar aktiviti di jual pada hari karnival berkenaan.