Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPUSMB guna sistem IQM dalam radioterapi rawat pesakit kanser, pertama di Asia Tenggara

    KEPALA BATAS, 9 FEB – Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) menjadi pusat pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan dan menggunakan sistem Integral Quality Monitor (IQM), sebuah teknologi canggih dalam rawatan radioterapi untuk pesakit kanser.

    Pakar Perunding Otorinolaringologi dan Brakiterapi Surgikal PPUSMB, Prof Madya Dr Muhamad Yusri Musa berkata melalui sistem ini, rawatan radioterapi di PPUSMB kini menggunakan teknologi terkini yang bertujuan meningkatkan jaminan kualiti dalam rawatan terapi radiasi.

    Menurut Dr Muhamad Yusri, IQM merupakan satu sistem yang lebih maju dan memastikan keselamatan rawatan radioterapi berada pada tahap tertinggi. Sistem itu juga memastikan ketepatan rawatan radioterapi ke atas sel-sel kanser secara lebih tepat sambil melindungi tisu sihat daripada kesan radiasi.

    “Dengan penggunaan IQM, kita kini dapat melakukan pemeriksaan secara real-time. Semasa pesakit menjalani rawatan radioterapi, IQM akan memantau ketepatan dos radiasi yang diberikan, memastikan pancaran radiasi tepat mengenai sel-sel kanser sahaja,” jelasnya.

    Beliau berkata dengan sistem IQM, radiasi hanya akan tertumpu kepada sel kanser, sekali gus mengurangkan kesan sampingan pada pesakit kerana tisu yang sihat tidak akan terdedah kepada radiasi.

    Dr Muhamad Yusri berkata sistem IQM telah dipasang pada mesin radioterapi di PPUSMB sejak Disember lalu dan setakat ini, lima pesakit telah menerima rawatan menggunakan teknologi tersebut. Pihak PPUSMB menjangkakan lebih ramai pesakit akan mendapat manfaat daripada sistem ini pada masa depan.

    IQM, menurutnya, merupakan game-changer dalam rawatan kanser kerana ia memantau ketepatan dos radiasi secara masa nyata, mengurangkan risiko, serta memastikan setiap rawatan disampaikan seperti yang dirancang oleh pakar onkologi radiasi dan pegawai fizik perubatan. – Bernama

    PPUSMB menjadi yang pertama di Asia Tenggara memperkenalkan dan menggunakan sistem IQM dalam rawatan radioterapi bagi pesakit kanser. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda