Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prabowo dan Putin akan adakan rundingan di Rusia

    JAKARTA, 12 JUN – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan bertemu dengan rakan sejawatnya, Vladimir Putin bulan ini dalam lawatan pertamanya ke Rusia sejak memegang jawatan, menurut pegawai hari ini, ketika ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berusaha memperkukuh hubungan dengan Moscow.
     
    Jakarta mengekalkan dasar luar berkecuali dan enggan untuk memihak dalam konflik Ukraine atau dalam persaingan antara Washington dan Beijing, namun Prabowo telah mengutarakan hasrat untuk mempererat hubungan dengan Moscow.
     
    Beliau akan melawat Rusia dari 18 hingga 20 Jun untuk mengadakan rundingan dengan Putin dan menghadiri forum ekonomi di Saint Petersburg, di mana beliau akan menyampaikan ucapan, menurut jurucakap Kementerian Luar, Rolliansyah Soemirat kepada para wartawan.
     
    “Presiden dan beberapa delegasi terpilih dijadualkan melawat St. Petersburg, Rusia pada 18 hingga 20 Jun. Lawatan itu adalah untuk memenuhi jemputan daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin, bagi satu pertemuan dua hala,” kata Rolliansyah.
     
    Tambahnya, “Pertemuan dua hala ini dijangka membincangkan perkembangan kerjasama dua hala, serta perbincangan antara pemimpin mengenai isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama.” Menurut Rolliansyah, Prabowo akan melawat Singapura pada Isnin untuk menghadiri pertemuan pemimpin, di mana beliau akan bertemu Perdana Menteri dan Presiden negara itu, sebelum berlepas ke Rusia.
     
    Jurucakap Presiden, Philips Vermonte turut mengesahkan perjalanan yang dirancang itu kepada AFP.
     
    Prabowo pernah melawat Putin di Moscow tahun lalu sebelum dilantik sebagai Presiden baharu Indonesia pada Oktober, sambil menyifatkan Rusia sebagai ‘rakan baik’.
     
    Prabowo turut berikrar untuk lebih berani di pentas antarabangsa berbanding pendahulunya, Joko Widodo. – AFP
     
    Gambar fail Prabowo Subianto semasa pengisytiharan rasmi sebagai presiden di Jakarta, Indonesia pada 24 April 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda