Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prabowo janji perkukuh hubungan dengan Jepun

    TOKYO, 3 APRIL- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ingin memperkukuh lagi hubungan dengan Jepun setelah bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berikutan lawatan ke China.

    Subianto, yang juga Menteri Pertahanan, memberitahu Kishida bahawa kedua-dua buah negara adalah rakan lama yang telah membina hubungan kerjasama, dan beliau berharap untuk memperkukuh lagi hubungan tersebut.

    Jepun telah berusaha menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara-negara Asia Tenggara, terutama dalam keselamatan maritim dan pertahanan, ketika menghadapi pengaruh ketenteraan China yang semakin agresif.

    Subianto memilih Beijing untuk lawatan luar negara rasmi pertamanya selepas kemenangan pilihan raya pada Februari lalu dalam usaha untuk menekankan hubungan yang stabil dengan China di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

    Dalam pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, Subianto berjanji akan meneruskan dasar eratnya terhadap China.

    China adalah rakan perniagaan terbesar Indonesia, dengan Beijing melabur dalam projek infrastruktur utama, dan Indonesia telah mengekalkan sikap yang agak neutral di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di antara China dan Filipina berhubung persaingan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

    Kishida menyambut baik kunjungan awal Subianto ke Tokyo, memberitahu bakal rakan sejawatnya bahawa kedua-dua negara adalah rakan lama yang berkongsi nilai dan prinsip asas, dan Jepun berharap untuk memperkukuh kerjasama dalam isu serantau dan global sebagai ‘rakan komprehensif dan strategik.’ – AP

    Prabowo Subianto (kiri) dan Fumio Kishida, bertemu di pejabat perdana menteri di Tokyo pada 3 April 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda